Tuesday, December 29, 2009

Halalkah Makanan Jenama Ini ??? Tiada tanda Halal Jakim !!!

KERAJAAN Malaysia dicabar oleh beberapa blog, kerana tidak mampu bertindak terhadap sebuah kilang yang terus beroperasi mengeluarkan makanan kepada pengguna-pengguna Islam, walaupun tiada tanda halal dari JAKIM dan permohonannya telah ditolak oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Sebuah kilang memproses bihun dan laksa, iaitu:

KILANG BIHUN BERAS INDAH SDN. BHD.
(Co. No. 365216-T)
Alamat:
Lot 1123,
Tingkat Selamat 6, Kampung Selamat,
Tasek Gelugor, Seberang Prai
13300. P.Pinang.

Kilang tersebut dikatakan bertindak menipu dan mengaburi pengguna serta orang ramai dengan meletakkan tanda halal sendiri dalam tulisan jawi & rumi. Malahan kilang itu mengeluarkan jenama CAP CILI, CAP KETUPAT, CAP LANGSAT dan CAP CABAI BURUNG. Kilang ini TIDAK PERNAH mendapat kelulusan logo/cop halal dari JAKIM. Malah permohonan mereka untuk sijil pengiktirafan pernah di tolak pihak Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

Sehingga sekarang Kilang Bihun Beras Indah Sdn Bhd ini masih beroperasi di bawah nama:

ZAKARIA DAN ANAK-ANAK SDN. BHD.
Alamat No. 22,24,26,
Tingkat Perusahaan Utama 1,
Taman Perindustrian Bukit Tengah, 14000
Bukit Mertajam.

Difakamkan syarikat ZAKARIA DAN ANAK-ANAK SDN. BHD sudah tidak lagi beroperasi, sedangkan KILANG BIHUN BERAS INDAH SDN. BHD beroperasi di tanah yang berkeluasan 4 hingga 5 ekar.

Lebih memeranjatkan lagi, terdapat pusat ternakan babi luasnya lebih kurang 2 ekar yang mampu menternak ratusan ekor babi bersebelahan kilang bihun tersebut, dan hanya dipisahkan dengan pagar usang yang sudah rosak.

Friday, December 18, 2009

HIJRAH SATU PENGORBANAN

Peristiwa Hijrah terlalu banyak memberi pengajaran kepada umat Islam khususnya dalam usaha kita memperjuangkan Islam di muka bumi. Salah satu perkara menarik yang sangat penting dijadikan iktibar ialah wujudnya beberapa golongan yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Qur’an. Golongan ini sentiasa ada di sepanjang zaman, lantaran itu kita perlu mengambil iktibar dengannya:

  1. Golongan utama: iaitu mereka yang mula-mula berhijrah ke Madinah bilamana mendengar arahan dan perintah Rasulullah s.a.w. Mereka ini mendapat pujian dan sanjungan dari Allah bahkan Allah meredhai mereka dan mereka juga meredhai Allah.

  1. Golongan yang diberi kemaafan kerana uzur, tidak berupaya untuk hijrah samada kerana tua, kanak-kanak, golongan kurang upaya atau kerana tidak mengetahui jalan-jalan menuju Madinah.

    Allah berfirman dalam surah an-Nisa’: 98-99,maksudnya : “Kecuali mereka yang tertindas samada lelaki atau perempuan dan anak-anak yang tidak berdaya dan tidak mengetahui jalan untuk berhijrah. Maka mereka itu mudah-mudahan Allah memaafkannya. Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”

    Tatkala turun ayat ini lalu berkata Habib bin Dhamrah al-Laithi seorang sahabat yang sangat tua, kepada anak-anaknya: “Tolong bawa aku ke Madinah, kerana Allah tidak mengecualikan aku, kerana aku bukan lemah ( masih gagah), dan aku juga mengetahui jalan menuju Madinah, sedang Allah hanya mengecualikan mereka yang tidak tahu jalan ke Madinah. Lalu anaknya membawanya keluar dari Mekah berhijrah menuju ke Madinah. Apabila sampai di Tanaiem, lalu ia jatuh sakit dan meninggal dunia. Maka peristiwa ini sampai ke pengetahuan sahabat-sahabat Rasulullah, lalu ada yang berkata: “Seandainya ia mati di Madinah, maka tentulah ia mendapat ganjaran pahala hijrah.”

    Maka turunlah ayat: “Barang siapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kerana Allah dan RasulNya, kamudian ia menemui ajalnya (kematian sebelum sampai ke tempat yang dituju) maka pahalanya telah ditetapkan disisi Allah, Maka Alah Maha Pengampun lagi Maha Penyanyang”.

  2. Golongan yang tidak hijrah kerana terhutang budi dengan Abu Lahab dan Abu Jahal, mereka terus menetap di Mekah demi menjaga hubungan baik dengan pemuka Quraish. Mereka ini adalah sebahagian dari umat Islam yang enggan berhijrah. Mereka menyembunyikan keIslaman mereka.

    Namun bilamana berlaku peperangan Badar, lalu Abu Lahab mengajak semua golongan yang ada di Mekah bagi membantunya. Keadaan ini menyebabkan beberapa orang yang telah beriman itu, menjadi serba salah, samada keluar ke Badar, bermakna berperang melawan Islam dan Rasulullah sedangkan mereka telah menganut Islam; atau terus berada di Madinah, iman mereka selamat.

    Tetapi apa pula penilaian Abu Lahab dan pemuka Quraish? Lantaran tersepit dengan keadaan inilah menyebabkan mereka akhirnya keluar dengan pedang dan panah, bersama Abu Lahab dan Abu Jahal menuju Ke Badar, berperang bersama kumpulan yang menentang Islam. Lalu mereka mati dalam peperangan tersebut.

    Inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam surah al-Nisa’ ayat 97: “Sesungguhnya orang-orang yang dicabut nyawanya oleh malaikat (dalam peperangan Badar) dalam keadaan mereka sedang menzalimi diri mereka sendiri, lalu malaikat menempelak mereka dengan berkata: “Bagaimana kamu ini?” Lalu mereka menjawab: “Sesungguhnya kami adalah golongan yang lemah dan tertindas di muka bumi.” Lalu Malaikat menjawab: “Bukankah bumi Allah ini luas sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?” Maka mereka ditempatkan di neraka jahanam, itulah seburuk-buruk tempat kembali.”

Maka kita hendaklah bimbang tentang fenomena ini berlaku di zaman kita. Wujudnya golongan yang telah memahami perjuangan Islam, bahkan telah merasa kemanisan dalam memperjuangkan Islam, namun dalam situasi tertentu mengambil sikap menyembunyikan penglibatan dalam perjuangan Islam; dikhuatiri nanti bilamana golongan yang menentang Islam akan libatkan mereka dalam perjuangan untuk mengalahkan Islam, maka mereka akan turut serta dan akhirnya mati dalam usaha menentang Islam, nauzubillah.

Semoga Allah memelihara kita dari fitnah ini dan menjauhi kita dari golongan ini. Amin.

Tuesday, December 8, 2009

"10 AMALAN YANG TERBALIK"

Marilah kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-

1. selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah dimana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?

2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin)orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi.Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah.Kalau ke kenduri kahwin,tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.

3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid,pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju.Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.

4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu,sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.

5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah,sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.

6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?

7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun.Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.

8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa.Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya.Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam.Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.

9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhiperaturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid.Sungguh tak malu manusia begini,rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.

10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak,bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.

Cukup dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaraan agar hidup kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.

Sabda Rasullullah SAW:
"Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat."
(Riwayat Bukhari)


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com. Powered by Blogger and Supported by ArchitecturesDesign.Com Beautiful Architecture Homes